Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal melancarkan Pelan Kedua Tindakan Strategik Peta Hala Tuju F:30 2023-2026 yang dijadualkan pada hari Sabtu ini, 11 November 2023.

Pelan Kedua ini memfokuskan pada misi untuk menguasai Asia Tenggara (ASEAN) dan muncul antara pencabar utama di Asia.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, pelan fasa kedua itu akan dibentangkan pada majlis pelancaran itu nanti.

“Kita tunggu Sabtu ini, dekat situ kita akan nampak dengan jelas dalam pembentangan mengenai pencapaian fasa satu dan perancangan untuk fasa kedua,” katanya dipetik dalam Harian Metro.

Peta Hala Tuju F:30 dengan tempoh 12 tahun dibahagi kepada tiga Pelan Tindakan Strategik, iaitu fasa pertama 2019-2022, fasa kedua 2023-2026 dan fasa ketiga 2027-2030.

Pelan Pertama Tindakan Strategik 2019-2022 yang dilancarkan pada 31 Oktober 2018 memfokuskan untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin menyifatkan F:30 sebagai simbol kesungguhan badan induk itu melaksanakan pelan pembangunan menyeluruh di setiap lapisan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara bola sepak yang disegani.

“Tempoh 12 tahun adalah sasaran yang realistik mengambil kira ekosistem bola sepak tempatan ketika ini.

“Teras kepada peta hala tuju ini ialah memperkasakan ahli gabungan dari sudut pembangunan modal insan dan pertandingan, pengenalan DNA bola sepak Malaysia menerusi kurikulum kejurulatihan yang seragam, serta pembangunan akar umbi yang mantap.

“Dalam peta hala tuju ini juga, FAM bercadang mewujudkan sekelompok pengadil profesional bertujuan meningkatkan mutu pengadilan,” katanya.